Sunday, January 26

Teknik Bernafas Waktu Kelahiran





Anda boleh mula mengaplikasikan teknik pernafasan apabila mula
 merasai kontraksi yang tidak selesa. Biarpun, anda mempelajari pelbagai
 jenis pernafasan ketika di kelas antenatal, pilih satu yang bersesuaian 
dengan keadaan diri ketika di dalam bilik bersalin.

1. Peringkat awal (early labour)
Bernafas secara perlahan-lahan dengan menarik nafas melalui hidung tiga kali. 
Kemudian hembus nafas melalui mulut tiga hingga empat kali. 
Dalam pada itu, hembuslah lebih lama berbanding tarik nafas.

2. Peringkat aktif (active labour)
Ketika sakit bertambah kuat, hela nafas terlebih dahulu. Disusuli dengan
tindakan menarik dan menghembus nafas. Apabila sakit semakin ketara 
bernafaslah secara cepat dan tidak dalam. Pada kemuncak kontraksi, 
pernafasan secara tercungap-cungap melalui mulut (panting) boleh membantu. 
Setelah kontraksi beransur hilang, bernafaslah seperti biasa secara perlahan-lahan.

3. Peringkat transisi (Masa bersalin hampir tiba tetapi
 pangkal rahim belum buka sepenuhnya)
Anda tidak digalakkan meneran kerana ini boleh memudaratkan.
Lakukan pernafasan panting namun jangan teran pada punggung.
 Sebaik-baiknya panting-panting – hembus.

INFO TAMBAHAN

Pernafasan Lamaze
Masyarakat Barat sangat menggemari kaedah pernafasan Lamaze. 
Dengan mengaplikasikannya, keadaan anda akan lebih terkawal. 
Apabila tumpuan dihalakan kepada pernafasan, maka kesakitan dapat diabaikan. 
Caranya ialah dengan bernafas sambil menyebut perkataan hee-hee-hoo.

Namun, adalah dinasihatkan agar kerap melakukan latihan sebelum tiba 
masa untuk bersalin kerana dikhuatiri bila tiba masanya anda tidak dapat 
melakukannya dengan baik kerana kurang berlatih. Tambahan pula 
ketika sakit anda tidak dapat menumpukan perhatian kepada teknik 
pernafasan yang betul. Oleh kerana itulah, amat penting untuk suami turut 
serta dalam kelas antenatal agar dia dapat memberi panduan ketika
 anda mengalami kontraksi.

Teknik betul meneran
Bayangkan keadaan seperti hendak membuang air besar. Pastikan dagu 
dirapatkan ke dada dan anda berkeadaan sama seperti udang membengkok. 
Ketika ini belakang badan perlu menyentuh katil. Fokus ke arah perut dan 
anda meneran dari abdomen ke bawah seperti diarahkan oleh doktor dan
 jururawat. Bila berlaku kontraksi, tarik nafas lalu meneran selama yang boleh. 

Dalam satu kontraksi, anda digalakkan mengambil nafas sebanyak dua 
hingga tiga kali. Meneran haruslah dari bahagian abdomen ke punggung 
dan bukannya di muka. Jangan sesekali mengangkat punggung kerana ia boleh 
menyebabkan koyak yang besar. Apabila bayi di tahap akhir pelahiran iaitu 
sebahagian kepala bayi mula kelihatan jangan meneran terlalu kuat. 
Teran perlahan lahan untuk mengelakkan koyak teruk. 

(Sumber: Majalah Pa&Ma Mac 2012)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...